Lagenda - Sheila Majid


Legenda merupakan album studio keempat hasil nukilan Sheila Majid yang dikeluarkan pada tahun 1990. Album ini telah dikeluarkan untuk pasaran di Jepun dan Malaysia dengan kulit album serta senarai turutan lagu yang berbeza. Kebanyakan lagu di dalam album ini ialah lagu P. Ramlee yang dinyanyikan semula oleh Sheila dengan sedikit perubahan susunan lagu mengikut kehendak semasa. Lagu Legenda merupakan lagu baru yang terdapat di dalam album ini yang disusun oleh Fauzi Marzuki dan ditulis oleh Habsah Hassan. Selain itu, album ini juga ditujukan khas buat P. Ramlee dalam usaha mengenang kembali jasanya untuk industri hiburan. Album ini diterbitkan oleh Roslan Aziz di bawah label syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn. Bhd. sepertimana album yang terdahulu. Pada tahun 2006, album Legenda XV XX telah dikeluarkan dengan senarai turutan lagu yang berbeza.